Hari itu, Cikgu Yong, guru mata pelajaran Kajian Tempatan meminta
murid-murid kelas 4 Tun Razak berkongsikan pekerjaan ibu bapa mereka dengan
rakan-rakan sekelas.
Tiba giliran Naqiyudin, dia berasa sedikit gementar untuk ke
hadapan dan bercakap dengan semua mata tertumpu kepadanya. Almaklumlah, pertama
kali diminta berbuat sedemikian
.
Sebelum itu, sudah ada tujuh orang murid yang lain yang telah pon
berkongsikan pekerjaan ibu bapa masing-masing. Ada yang si bapa bekerja sebagai
doktor. Ada yang si ibu bekerja sebagai pensyarah. Ada yang jurutera. Ada yang
saintis. Ada yang peguam. Macam-macam lah! Semuanya pon hebat-hebat belaka!
"Assalamualakum kawan-kawan. Err.. Err.. Hari ni, saya nak
kongsi dengan kawan-kawan... Pekerjaan ibu saya je kot. Bapa saya dah takde.
Dia meninggal masa saya darjah 1 lagi."
Pendedahan Naqiyudin itu disambut dengan 'Oooohh' dan 'Aaahhh' oleh
rakan-rakannya yang lain, terutamanya yang perempuan. Naqiyudin menjadi semakin
tidak keruan. Dia cuba menenangkan dirinya dengan menggentel-gentel jarinya.
"Tapi dulu... Tapi dulu ayah saya kerja sebagai cikgu, macam
Cikgu Yong jugak!"
Cikgu Yong tersenyum mendengar kata-kata Naqiyudin itu.
"Ibu saya... Uhm... Masa ayah ada dulu, dia jadi suri rumah
sepenuh masa. Sekarang ni... Dia ambil upah menjahit. Kadang-kadang dia buat
kuih..."
Kedengaran ada beberapa orang yang tertawa mendengarkan perkongsian
Naqiyudin itu.
"Sharifudin Ali! Kenapa kamu gelak? Cuba hormat sikit
Naqiyudin di hadapan tu!"
Cikgu Yong dengan tegas menegur anak-anak muridnya yang tertawa
sebentar tadi.
"Takde apa cikgu. Maaf cikgu."
Namun pada wajah Sharifudin Ali, terukir sekuntum senyuman sinis
yang menjengkelkan. Telinga Naqiyudin tiba-tiba menjadi panas. Kepalanya tidak
semena-mena berpeluh dan gatal. Dia mengetap giginya menahan sabar.
"Cikgu, izinkan saya bertanya kepada Sharifudin Ali kenapa dia
tertawa sebentar tadi?"
Cikgu Yong mengangguk.
"Sharif, kenapa kau gelak tadi? Ada apa-apa masalah ke, mak
aku jahit baju dan jual kuih?"
Sharifudin Ali bangun dengan gaya yang penuh angkuh, berpeluk tubuh
dan dengan selambanya mengejek Naqiyudin.
"Bukan apa. Mak orang lain semua kerja terer terer. Doktor.
Pensyarah. Pembaca berita. Semua belajar tinggi-tinggi. Mak aku pon, bukan nak
kata ah, tapi seorang usahawanita yang sukses. Sampai mak kau... Heh."
Terbeliak mata Cikgu Yong mendengar kata-kata Sharifudin Ali yang
penuh selamba itu. Sharifudin Ali baharu sahaja melanggar garisan sempadannya.
Naqiyudin menggenggam tangannya, penuh kemarahan dan ketidakpercayaan. Baharu
sahaja Cikgu Yong mahu mengatakan sesuatu, Naqiyudin sudah menyerang balas
dahulu.
"Oh ye..? Mari sini, aku nak beritahu kau sesuatu.
Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap pagi dia akan kejutkan
aku untuk solat Subuh dan kemudian bersiap-siap untuk pergi sekolah.
Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap hari baju sekolah aku
sudah tersedia bergosok.
Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap pagi dia akan sediakan
bekalan sarapan untuk aku.
Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap hari dia akan teman aku
pergi sekolah.
Ye, mak belajar tak tinggi, tapi sebelum berpisah dengan aku, dia
akan peluk aku dan hadiahkan aku ciuman di pipi dan dahi.
Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap hari, lepas loceng
sekolah berbunyi, dia sudah tersedia menanti di luar pagar.
Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi aku dapat jalan balik dari
sekolah dengan mak aku sambil makan aiskrim.
Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap hari, lepas balik dari
sekolah, makanan tengah hari sudah tersedia di dapur.
Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap hari dia pasti akan
temankan aku buat buat kerja sekolah dan dia akan pastikan aku siapkan kerja
sekolah aku.
Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi aku ada 7 orang adik-beradik
dan semuanya dia boleh jaga dengan baik!
Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi makan kami cukup, pakaian kami
cukup dan kami adik-beradik saling membantu untuk cukupkan mana yang perlu.
Kami bahagia!
Kau ada...??"
Tergamam Cikgu Yong. Terkesima seluruh kelas.
Pucat muka Sharifudin Ali. Pipinya basah dengan air mata.
Sumber : http://cincinbelahrotanku.blogspot.com