1. PENGENALAN
Falsafah berasal daripada gabungan dua perkataan Greek, iaitu philein
yang bermaksud menyintai dan sophos yang bermaksud hikmah. Oleh itu
dapat disimpulkan bahawa falsafah bermaksud kecintaan terhadap hikmah. Maka
kalau dibincangkan mengenai ahli falsafah, ahli falsafah boleh dikatakan orang
yang menyintai falsafah.
Falsafah adalah
satu bidang ilmu yang banyak membincangkan masalah dan mencari solusi bagi
permasalahan tersebut untuk manfaat individu, masyarakat, Negara dan sesebuah
tamadun. Bangsa yang mementingkan falsafah telah terbukti berjaya menjadi
sebuah tamadun dunia yang tersohor. Contohnya tamadunYunani sekitar tahun 500
S.M.-300 S.M. Melihat dari sudut kegemilangan Islam pula, tamadun Islam bangkit
pada Zaman Pertengahan di Semenanjung Tanah Arab.
Namun begitu,
kertas kerja ini bukan bertujuan hendak membincangkan mengenai falsafah secara
menyeluruh. Sebaliknya kertas kerja ini bertujuan untuk membincangkan mengenai
seorang tokoh Islam yang terkemuka yang menyumbang dalam pelbagai bidang
termasuklah dalam bidang falsafah. Walaupun beliau hanya menyumbang secara
tidak langsung dalam perkembangan ilmu falsafah, namun jasa beliau tidak dapat
dinafikan.
Beliau yang di
maksudkan adalah Imam al-Ghazali. Kertas kerja ini akan membincangkan bermula
dari sejarah hidup al-Ghazali, diikuti dengan perjalan beliau dalam menuntut
ilmu, terlibat dengan ilmu falsafah dan penentangan beliau terhadap falsafah.
Kertas kerja ini juga membincangkan mengenai pendapat ulama terhadap
al-Ghazali, bagaimana beliau menghadapi kesukaran hidup dan turut membawa
perbincangan mengenai pengakhiran kehidupan al-Ghazali.
2.
RIWAYAT HIDUP AL-GHAZALI
Al Ghazali atau nama sebenarnya Abu Hamid
al-Ghazali dilahirkan pada tahun 450 hijrah bersamaan 1072 masihi di desa
Ghazalah, di pinggir kota Thus. Kota Thus termasuk dalam wilayah Khurasan yang
terletak di bahagian timur laut Iran. Kota Thus juga merupakan salah satu kota
yang terkenal di wilayah Khurasan pada zaman dahulu.
Abu Hamid al-Ghazali berasal daripada
keluarga yang miskin. Ayahnya bekerja sebagai seorang penenun kain dari bulu
biri-biri untuk dijadikan pakaian dan hasilnya dibawa dari desa Ghazalah ke
kota Thus untuk di pasarkan atau dijual di sana. Walaupun keluarganya merupakan
dari golongan yang miskin, namun begitu keluarga Abu Hamid al-Ghazali sangat
kuat dalam bergama. Ayah al-Ghazali seorang yang buta huruf akan tetapi beliau
sangat gemar bergaul dengan para sufi dan ‘alim ulama sambil mempelajari serta
mendalami ilmu-ilmu keagamaan.
Beliau juga sering menabur bakti dengan
membantu golongan sufi dan ‘alim ulama ini memperkembangkan usaha dakwah mereka
serta membantu dalam urusan-urusan lain. Impak daripada sering mendampingi dan
bergaul dengan para ilmuan ini, timbulnya rasa keinginan dalam diri ayahnya
untuk memiliki seorang anak yang soleh serta berilmu pengetahuan. Ayah
al-Ghazali sering berdoa kepada Ilahi supaya hasratnya itu dapat
direalisasikan. Berkat doa seorang ayah yang bertaqwa akhirnya permintaannya
itu telah diperkenankan. Lahirnya seorang insan yang telah mengharumkan lagi
nama islam ketika itu yang dikenali sebagai al-Imam Abu Hamid al-Ghazali. Al-Ghazali
juga telah digelar sebagai Hujjatul Islam oleh para alim ulama.
Sebelum ayah al-Ghazali meninggal
dunia, beliau telah mewasiatkan kepada seorang sahabatnya yang merupakan
seorang sufi untuk menjaga dan mendidik dua orang putranya iaitu al-Ghazali dan
saudarnya Ahmad. Ayah al-Ghazali juga ada meninggalkan sedikit wang kepada
sahabatnya, untuk membiayai kehidupan dua orang putranya itu. Ketika berada
dalam jagaan sahabat ayah mereka, al-Ghazali dan saudaranya telah belajar
membaca dan menulis daripada sahabat ayah mereka itu.Kehidupan bersama sahabat
ayah mereka itu adalah sangat miskin dan susah sehingga mereka tidak mampu
untuk melanjutkan pelajaran. Setelah beberapa waktu berlalu, wang perbelanjaan
yang telah ditinggalkan oleh bapa mereka telah habis.
Pada suatu hari sahabat ayah mereka itu
telah berkata kepada mereka bahawa wang yang telah ditinggalkan oleh ayah
mereka telah kehabisan dan beliau tidak mampu lagi untuk menyara hidup
al-Ghazali dan saudaranya kerana beliau merupakan seorang yang miskin dan
hidup dalam keadaan yang serba
kekurangan. Beliau juga menasihatkan mereka supaya pergi ke kota Thus dan
belajar di sebuah madrasah agar dapat mengubah nasib diri mereka.
Setelah itu mereka telah pergi ke
madrasah tersebut sebagaimana yang telah dinasihatkan oleh sahabat bapanya itu.
Madrasah tersebut di asaskan oleh seorang lelaki yang benama Nizam al-Mulk dan
madrasah tersebut dikenali sebagai Madrasah an-Nizamiyyah. Di madrasah
tersebut, Al-Imam Abu Hamid al-Ghazali telah mempelajari ilmu fiqh, ilmu nahu, dan
ilmu hisab dan beliau juga telah berjaya menghafal isi al-Quran. Al-Ghazali
gemar untuk mempelajari ilmu-ilmu yang zahir manakala adiknya Ahmad pula lebih
cenderung kepada ilmu tasawuf.
Pada tahun 465 hijrah, al-Imam Abu
Hamid al-Ghazali telah pergi ke Jurjan, di mana tempat ini merupakan tempat
beliau mempelajari dasar-dasar ilmu pengetahuan yang berkembang ketika itu di
bawah bimbingan asy-Syaikh Abu Nasr Ismail Ibn Mas’adah al-Ismaili. Semasa
belajar di Jurjan, al-ghazali merupakan seorang yang rajin dan tekun belajar. Beliau
menulis setiap ilmu dan pelajaran yang diajarkan oleh gurunya. Beliau juga
sangat sayang akan nota-notanya itu.
Setelah tamat pelajarannya pada tahun
470 hijrah, al-Ghazali pulang ke Thus. Dia telah pulang bersama sebuah kafilah
dengan membawa bersama nota-nota pelajarannya itu. Ketika dalam perjalanan ke
Thus, sekumpulan penyamun telah menahan kafilahnya itu dan merampas segala
harta setiap anggota kafilah tersebut termasuklah nota-nota kepunyaan
al-Ghazali. Imam al-Ghazali merayu kepada penyamun tersebut supaya dipulangkan
notanya. Salah seorang daripada penyamun itu lalu tertawa dan berkata kata
kepadanya “bagaimanakah engkau mengatakan yang engkau sudah memperoleh ilmu
sedangkan jika kami merampas nota-nota ini maka engkau akan kehilangan ilmu
mu?” Akhirnya nota-nota al-Ghazali dikembalikan kepadanya semula.
Peristiwa tersebut telah memberi kesan
yang amat mendalam terhadap dirinya dan menjadi titik tolak kepada al-Ghazali
mengubah cara beliau berfikir juga sistem pembelajarannya. Beliau berpendapat
bahawa kata-kata yang lahir daripada mulut penyamun tersebut adalah satu ilham
daripada Allah s.w.t sebagai petunjuk kepada dirinya. Setelah kembali ke Thus, beliau
mengambil masa selama tiga tahun untuk menghafal segala nota-notanya itu.
Ketika berada di Jurjan, al-Imam Abu
Hamid al-Ghazali telah berkahwin dan dikurniakan empat orang cahaya mata, seorang
lelaki dan tiga orang perempuan. Namun al-Ghazali telah diuji dengan kehilangan
anak lelakinya kerana meninggal dunia ketika masih kecil lagi. Al-Imam Abu
Hamid al-Ghazali juga pernah berguru dengan seorang syaikh yang sangat terkenal
pada tahun 473 Hijrah iaitu asy-syaikh Diyauddin Abu al-Ma’ali ‘Abdul Malik ibn
‘Abdullah al Juwaini di al-Madrasah an-Nizamiyyah. Syaikh ini juga digelar
dengan nama Imam al-Haramain kerana beliau pernah mengajar di Masjid al-Haram
di Makkah dan Masjid an-Nabawi di Madinah al-Munawwarah. Al-Ghazali telah
mempelajari ilmu-ilmu seperti ilmu fiqh, ilmu usul, ilmu mantiq, ilmu falsafah,
ilmu kalam dan ilmu perdebatan serta beliau juga dapat menguasai ilmu-ilmu ini
dengan mudah dek mepunyai kecerdasan dan ketajaman akal. Di sini jugalah
al-Ghazali menulis kitab-kitabnya untuk menzahirkan pendapatnya dan menjadi
bahan bacaan serta rujukan kepada masyarakat awam.
Setelah peristiwa kewafatan gurunya,
Imam al-Haramain, pada tahun 478 Hijrah, al-Ghazali telah dipanggil oleh Nizam
Al-Mulk iaitu seorang wazir Sultan Saljuk Turki yang menguasai kerajaan Abasiah
di Baghdad ketika itu. Baghdad merupakan sebuah tempat pedebatan ilmu yang
sangat hebat pada masa tersebut dan al-Ghazali telah menonjolkan dirinya dengan
mengalahkan pedebat-pedebat yang lain secara tidak langsungnya menjadikan
dirinya terkenal di seluruh daerah. Nizam al-Mulk sangat tertarik akan
kebolehan dan ketokohan al-Imam Abu Hamid al-Ghazali dan beliau telah melantik
al-Ghazali sebagai pengetua di Universiti Nizamiyyah di Baghdad. Masyarakat
pada masa itu juga sangat kagum dengan keindahan perkataan, kafasihan lidah dan
keperibadian al-Ghazali.
Ketika era kegemilangan al-Ghazali
semakin memuncak, pada tahun 488 Hijrah, berlakunya satu peristiwa yang telah
menyebabkan beliau terpaksa melepaskan tugasnya di mana beliau tidak mampu lagi
mengajar kerana kehilangan kata-kata. Al-Ghazali telah menceritakan peristiwa
yang berlaku terhadap dirinya ini dengan lebih terperinci dalam kitabnya iaitu
al-Munqidh Min ad-Dalal. Setelah beliau bermuhasabah, didapati bahawa niat
dalam pengajarannya telah tergelincir dari landasan yang sebenarnya iaitu
beliau tidak lagi ikhlas kerana Allah s.w.t malah tujuan utamanya adalah untuk
mengejar kemewahan duniawi dan supaya namanya di agung-agungkan oleh
masyarakat.
Selepas daripada itu beliau telah
memohon keampunan dan berdoa kepada Allah agar penyakitnya itu sembuh semoga
beliau kembali mampu meneruskan usaha dakwahnya bagi mendidik hati-hati
manusia. Disebabkan peristiwa tersebut, pada bulan Zulkaedah tahun 488 Hijrah,
beliau telah meletakkan jawatannya sebagai pengetua di Universiti an-Nizamiyyah
dan meminta adiknya iaitu asy-Syaikh Ahmad al-Ghazali mengambil alih jawatannya
itu.
Beliau mengambil keputusan untuk
meninggalkan Baghdad dan mewaqafkan segala hartanya kecuali sebahagian kecil
yang telah di ambil untuk dijadikan perbelanjaan menyara hidup keluarganya. Bagi
mengelakkan berlakunya syak wasangka, al-Ghazali telah memberitakan bahawa dia
akan berangkat untuk menunaikan haji di Makkah. Setelah meninggalkan Baghdad,
beliau telah menunaikan haji di Makkah dan tinggal di sana selama 10 tahun dan
sebahagian waktunya di Baitul Maqdis.
Al-Imam Abu Hamid al-Ghazali banyak
menghabiskan masanya dengan ber’uzlah mensucikan dan menjernihkan hatinya
dengan beramal dan berzikir kepada Allah. Atas desakan dan permintaan para
wali, al-Ghazali kembali mengajar di Universiti an-Nizamiyyah pada tahun 499
Hijrah. Beliau juga telah bertekad untuk mengajar ilmu-ilmunya itu semata-mata
kerana Allah di samping memperbaiki dirinya dan orang lain. Beliau hanya
mengajar dalam tempoh masa yang singkat dan telah kembali ke rumahnya di Thus. Al-Ghazali
telah meninggal dunia pada hari Isnin 14 Jamadil Akhir tahun 505 Hijrah
bersamaan 18 Disember 1111 Masihi.
3.
KARYA
AL-GHAZALI.
Al-Imam Abu Hamid al-Ghazali banyak
menghasilkan kitab kitab ilmiah yang menjadi rujukan dan panduan kepada
masyarakat kita hingga hari ini. Dianggarkan beliau telah menulis lebih 300
buah buku yang merangkumi pelbagai bidang ilmu pengetahuan seperti dalam bidang
hadis, tafsir, ulumul Quran, tauhid, falsafah, mantik dan sebagainya. Ini
membuktikan bahawa al-Ghazali merupakan seorang penulis yang produktif dan
gelaran yang diberikan kepada beliau iaitu Hujjatul Islam sangat bertepatan
dengan keperibadiannya.Walaubagaimanapun, sebahagian besar hasil karya
tulisannya telah musnah di bakar oleh tentera Moghul yang menyerang kota
Baghdad.
Antara kitab yang musnah termasuk : 40 Jilid Tafsir, Sirrul Alamain (Rahsia
Dua Dunia), dan Al-Madhnuuna bihi ala Qhairiha (Ilmu Yang Harus Disembunyikan
Dari Orang-orang Yang Bukan Ahlinya). Menurut para ulama cuma lebih kurang 80
buah kitabnya sahaja yang berjaya diselamatkan seperti Ihya Ulumuddin
(Menghidupkan Kembali Ilmu-ilmu Agama), Al Munqidz Minadh Dhalal (Penyelamat
Kesesatan), Kimia-i-Saadat, Tahafut Al Falsafah (Penghancuran Falsafah),
Mizanul Amal (Timbangan Amal), Misykatul Anwar, Makatibul Ghazali (Surat-surat
al-Ghazali) dan lain-lain lagi.
Antara kitab al-Ghazali yang terkenal ialah Ihya Ulumuddin
(Mengidupkan Kembali Ilmu-ilmu Agama). Kitab ini dihasilkan pada awal abad
kelima Hijrah yang mempunyai pengaruh yang sangat kuat dalam membendung
serangan materialisme yang menghembuskan racun-racun kecintaan dunia dalam diri
orang Muslim. Melalui usaha murni al-Ghazali, masyarakat mulai sedar akan aspek
sufistik mempunyai peranan yang besar dalam mengharmonikan kehidupan serta
memberi keseimbangan antara usrusan keduniaan dan akhirat. Kitab ini memiliki
keistimewaannya yang tersendiri kerana telah dipersembahkan dengan gaya yang
mudah untuk dibaca dan difahami disamping telah diringkaskan sendiri oleh
al-Ghazali. Al-Imam Nawawi pernah mengatakan bahawa “tidak pernah ada buku
seperti ini pernah ditulis sebelumnya, dan tak akan ada yang dihasilkan selepas
ini”. Ini mebuktikan bahawa kitab Ihya Ulumuddin hasil karya al-Ghazali ini
telah mendapat pengiktirafan daripada ulama-ulama besar seperti Imam Nawawi.
Seterusnya, al-Ghazali telah menghasilkan sebuah karya yang tidak
kurang hebatnya dan sangat popular iaitu Makatibul Ghazali (Surat-surat
Ghazali). Buku ini telah menghimpunkan surat-surat al-Ghazali yang telah
diutuskan kepada sultan-sultan, perdana menteri, gabenor-gabenor dan para
pembesar negara. Surat-surat al-Ghazali tersebut kebanyakannya ditulis dalam
bahasa parsi. Di dalamnya telah terselit pendapat dan teguran al-Ghazali kepada
pembesar-pembesar negara yang menolak untuk tunduk kepada pemerintah yang tidak
adil dan tidak melaksanakan tanggugjawab dengan amanah. Al-Ghazali telah
menasihati para pembesar negara dengan cara yang baik supaya tidak
menyalahgunakan kuasa dan amanah yang diberikan kepada mereka.
Di dalam salah satu suratnya, al-Ghazali telah melahirkan rasa
kesedihan dan ketidakpuasan hatinya terhadap situasi yang berlaku dalam
kalangan masyarakat ketika itu di mana orang-orang miskin telah ditindas oleh
golongan kaya. Mereka terpaksa bersusah-payah berkerja untuk kesenangan
golongan kaya ini sedangkan nasib diri mereka tidak pernah dipedulikan oleh
golongan kaya. Selain itu terdapat banyak lagi isi kandungan buku ini yang
boleh dijadikan panduan kepada para pembaca pada masa ini.
Al-Imam Abu Hamid al-Ghazali juga banyak menulis berkenaan
falsafah. Tahafut al Falsafah (Penghancuran Falsafah) merupakan antara hasil
karya beliau yang masyhur yang membicarakan berkaitan dengan falsafah. Di dalam
buku ini, al-Ghazali banyak mengkritik dan mengecam para ahli falsafah yang
bersifat ekstrimis dengan ilmu falsafah mereka sehingga terkeluar daripada
landasan Islam. Beliau juga menyatakan bahawa tujuan penyusunan buku ini adalah
untuk menhancurkan falsafah itu sendiri dan menggugat keyakinan masyarakat
terhadap falsafah. Al-Ghazali juga telah memperkatakan berkaitan Ibnu Sina dan
pengikutnya bahawa mereka telah keliru dan melakukan bid’ah ketika mempelajari
falsafah dengan seorang yang tidak mempercayai akan adanya Tuhan iaitu
Aristotle yang merupakan murid kepada Plato dan Socrates.
Meskipun Al-Ghazali banyak menulis mengenai falsafah tetapi beliau
tidak dianggap sebagai seorang ahli falsafah. Malah kebanyakan penulis
menggolongkan Al-Ghazali sebagai seorang yang memerangi dan bersikap
antifalsafah. Namun begitu, pandangan bahawa Al-Ghazali seorang yang
antifalsafah tidak dipersetujui oleh beberapa orang sarjana. Hal ini kerana
mereka beranggapan kritikan-kritikan al-Ghazali tersebut adalah merupakan
sebahagian daripada proses ilmu falsafah itu sendiri.
Selain itu, kitab Misykatul Anwar adalah merupakan kitab karya
al-Imam al-ghazali yang juga terkenal.Kitab ini pada umumnya menyentuh
soal-soal keTuhanan pada peringkat yang tinggi. Kitab ini juga merupakan
tafsiran Surah An-Nur ayat 35-36 oleh al-Ghazali atas permintaan orang ramai
yang menyuruhnya supaya membicarakan sedikit tentang rahsia keTuhanan.
Al-ghazali juga pernah mengatakan bahawa kitab Misykatul Anwar ini
bertujuan untuk mengupas dengan lebih mendalam lagi berkaitan dengan kitab
Ihya’ Ulumuddin. Kitab ini juga banyak membicarakan berkaitan ilmu hakikat yang
sukar di fahami oleh kebanyakan orang. Menurut beberapa pendapat Ilmuan Islam,
kitab ini perlu dipelajari dengan begitu teliti bagi mengelakkan timbulnya
kekeliruan tatkala mempelajarinya.
4.
PENGLIBATAN DALAM FALSAFAH.
Penglibatan al-Ghazali dalam bidang falsafah adalah berasaskan
kepada ilmu logik. Catatan sejarah menyebutkan bahawa al-Ghazali tidak pernah pernah mempunyai
seorang guru yang khusus bagi membolehkan beliau mendalami ilmu falsafah. Hal
ini berlawanan dengan disiplin ilmu yang lain seperti ilmu feqah, tasawuf dan
tauhid khususnya yang dihuraikan melalui pendekatan ilmu kalam. Namun begitu,
pengajiannya di Naysabur telah membuka ruang kepada beliau mendalami ilmu
falsafah setelah didedahkan mengenai maklumat tentang kedudukan ahli falsafah
oleh gurunya al-Juwayni. Ilmu tersebut dikenali sebagai ahl al-mantiq wa
al-burhan.
Detik permulaan di Nasyabur tersebut menjadi kunci meleraikan
kedudukan dan metodologi pemikiran ahli falsafah yang difahami oleh al-Ghazali.
Pemahaman serta penguasaan terhadap ilmu falsafah dikembangkan lagi apabila
beliau mencurahkan bakti di Madrasah al-Nizamiyyah, Baghdad dengan
membaca buku-buku falsafah. Al-Ghazali mengisahkan sendiri bahawa pengkajian
falsafah yang dilakukan beliau adalah bersumberkan penulisan dan karya dalam bidang tersebut
tanpa bimbingan seorang guru. Inilah kegiatan masa lapang yang dilakukan oleh
beliau sekiranya tidak terlibat dengan penulisan atau pengajaran di Madrasah
al-Nizamiyyah.
Kebanyakan buku falsafah yang tersebar di Dunia Islam pada ketika
itu adalah tulisan tokoh-tokoh falasafah seperti al-Farabi dan Ibn Sina.
Sesetengah sarjana seperti Watt, menyebutkan bahawa al-Juwayni yang memberi
galakan kepada al-Ghazali agar membaca buku-buku falsafah hasil penulisan
al-Farabi dan Ibn Sina. Penulisan kedua-dua tokoh ini dianggap al-Ghazali sebagai
hasil karya terbaik yang merupakan olahan intelektual Muslim pada zaman
tersebut.
Al-Ghazali berpegang bahawa beliau tidak akan mengkritik sebarang
aliran pemikiran kecuali beliau telah memahami asas pemikiran pengasas berdasarkan
sumber-sumber yang berautoriti. Melalui kaedah inilah beliau mendekati
karya-karya falsafah. Kecerdasan akal dan kepintaran luar biasa yang dimiliki
oleh al-Ghazali membolehkan beliau mampu memahami asas-asas pemikiran falsafah
dan mampu mengadaptasi bidang tersebut dengan baik.
Beliau menghabiskan
kira-kira dua tahun untuk mendalami disiplin falsafah yang disebutkan dalam
sejarah. Tidak cukup dengan itu, beliau menambah lagi setahun bagi mengamati
dan menghalusi segala apa yang telah dipelajarinya sebelum itu seperti yang
dinukilkan beliau sendiri Dalam Al-Munqidh.
Menurut Zaki Mubarak, faktor ketiadaan guru merupakan antara punca al-Ghazali
begitu lantang mengkritik beberapa asas pemikiran falsafah yang dilihatnya
bertentangan dengan ajaran Islam. Sekiranya beliau mendapat bimbingan guru
secara khusus, tentu sekali beliau tidak akan begitu lantang mengkritik
falsafah.
Pandangan yang dikemukan oleh sarjana tersebut tidak harus dilihat
sebagai berobjektifkan merendahkan tahap penguasaan al-Ghazali dalam bidang
falsafah kerana tidak mempunyai tenaga pengajar khusus yang membimbingnya
sebaliknya bertujuan menghargai sudut pandang yang berbeza dalam kalangan
ilmuan Islam yang memberikan pendapat berdasarkan tahap ilmu masing-masing.
Intrpretasi seseorang ahli falsafah terhadap sesuatu perkara adalah
berbeza dengan seorang yang bukan ahli falsafah. Hal ini disebabkan berlakunya
perbezaan tahap kefahaman masing-masing terhadap isu yang dibahaskan. Al-Ghazali
yang berlatar belakangkan theologi tentu sekali mempengaruhi tanggapannya
terhadap doktrin-doktrin falsafah, bahkan mendorongnya untuk menghasilkan
karya-karya falsafah yang bertujuan untuk menolak beberapa doktirn yang
dianggapnya sebagai bercanggah dengan ajaran Islam.
Al-Ghazali telah melakukan suatu tindakan yang tidak dilakukan oleh
ulama’ yang lain. Bahkan beliau telah melakukan apa yang tidak sanggup
dilakukan oleh ulama’ lain iaitu mendalami dan memahami ilmu falsafah. Walaupun
tanpa guru khusus, beliau telah berjaya mengadaptasi ilmu falsafah dan
menukilkannya dalam kitabnya Al-Munqidz min Ad-Dhalal.
Al-Ghazali telah membahagikan golongan falsafah kepada tiga
golongan iaitu al-Dahriyun atau atheis, al-Tabiiyun atau natural dan
al-Ilahiyun atau theologi. Al-Dahriyun merupakan golongan yang menolak adanya
Sang Pencipta. Mereka mempercayai bahawa alam ini terjadi dengan sendirinya.
Mereka ini dikategorikan zindiq iaitu kafir oleh Imam Al-Ghazali.
Al-Tabiiyun atau natural pula menumpukan banyak kajian tentang alam
semula jadi, keanehan fenomena-fenomena yang wujud pada haiwan dan tumbuhan.
Hal ini dilakukan melalui ilmu pembedahan anggota haiwan yang dikenali dengan
nama ilmu tasyrih atau anatomi. Mereka beranggapan jiwa manusia apabila mati,
tidak akan dibangkitkan semula. Mereka menolak wujudnya akhirat, syurga dan
neraka, padang mahsyar dan hisab. Mereka juga menolak pahala dan dosa. Oleh
sebab itu mereka menjadi hamba kepada hawa nafsu. Mereka ini juga dikategorikan
zindiq oleh Imam Al-Ghazali.
Golongan yang lahir kemudian dikenali sebagai al-Ilahiyun atau ahli
theologi. Antara mereka termasuklah Sokratus, muridnya Plato dan murid Plato
iaitu Aristotles. Mereka semua menolak golongan al-Dahriyun dan al-Tabiiyun. Namun
begitu mereka kemudiannya terpecah kepada dua golongan. Aristotles telah
mengecam dan mengkritik pendapat Plato dan Sokrates dan pendapat-pendapat ahli
falsafah ketuhanan terdahulu yang diutarakan oleh kedua tokoh di atas.
Aristotles menganggap Sokratus dan Plato tidak bersih dan masih
hidup dalam kekufuran dan bid’ah. Walaubagaimanapun Aristotles masih juga
berpegang dengan bid’ah kekafiran mereka itu. Oleh sebab kesan bid’ah yang ada
pada Aristotle tidak ada tolak ansur dan tidak boleh dimaafkan, maka dia dan
pengikutnya telah dikafirkan termasuklah beberapa ahli falsafah Islam yang mengikutnya
seperti Ibn Sina dan al-Farabi.
Al-Ghazali kemudiannya menyebutkan bahawa Ibn Sina dan al-Farabi
merupakan dua tokoh yang amanah dalam menukilkan ilmu Aristotles. Al-Ghazali kemudiannya
telah membahagikan ilmu falsafah kepada beberapa bahagian iaitu matematik,
mantiq, fizik, ketuhanan, siasat dan akhlak.
Ilmu matematik adalah ilmu berkaitan dengan ilmu kira-kira,
geomaetri dan kejuruteraan. Ilmu ini tidak berkaitan dengan agama. Ia merupakan
ilmu yang bersifat pembuktian dalil dan bukti. Ilmu ini adalah bersifat burhaniyyah.
Tidak ada jalan untuk menolaknya apabila telah difahami dan diketahui.
Ilmu mantiq atau logik pula adalah ilmu yang tidak ada kaitan
dengan agama. Bahkan ia berbentuk pandangan dan pengendalian atau qiyas
iaitu syllogism. Ilmu fizik pula membincangkan mengenai kajian alam langit
serta segala planet dan bintang-bintangnya, air dan juga udara dan bukanlah
syarat agama menyangkal ilmu-ilmu ini.
Al-Ghazali dalam ilmu metafizik atau ketuhanan menyebutkan, banyak
ahli-ahli falsafah yang tersalah. Mereka tidak mampu untuk membuktikan sebagaimana
yang menjadi prasyarat dalam ilmu mantiq. Tiga kesalahan yang mereka lakukan
membawa kepada kekafiran manakala tujuh belas lagi membawa kepada perkara
bid’ah. Tiga masalah yang menyalahi keselurahan pendapat orang Islam ialah:
a)
Tidak
ada kebangkitan semula pada hari kiamat ke atas jasad manusia.
b)
Allah
SWT hanya mengetahui ilmu yang bersifat umum sahaja, tetapi ilmu yang bersifat
khusus tidak diketahui.
c)
Alam
adalah bersifat qadim dan azali.
Al-Ghazali menyebutkan bahawa bidang politik adalah berdasarkan
perbincangan fikiran yang menyentuh tentang hukum-hukum masalah yang berkaitan
dengan masalah dunia. Etika pula membincangkan mengenai perihal sifat-sifat
yang patut menghiasi jiwa dan perlakuan seseorang yang pelbagai dan berbeza.
Hasil daripada penerangan yang tidak ada tolok bandingnya ini, Al-Ghazali
telah berjaya merungkai misteri di sebalik kalimah falsafah, yang merupakan
salah satu cabang daripada tangkai yang selama ini tidak terjawabdan salah satu
daripadanya azimat yang menjadi rahsia yang tersebunyi.
5.
SERANGAN TERHADAP FALSAFAH
Al-Ghazali merupakan tokoh yang sangat istemewa dalam usahanya
untuk memerangi falsafah. Tokoh-tokoh sebelumnya mengambil jalan mempertahankan
Islam dan akidahnya dengan berdalihkan agama Islam. Apabila falsafah menyerang
Islam, mereka bangkit menentang dan menolak tuduhan-tuduhan yang ditujukan
kepada Islam. Mereka berusaha menetapkan pendirian yang diambil berdasarkan
syariat Islam dan mencari alasan dan kelemahan terhadap falsafah dan
teori-teorinya.
Ilmu kalam seolah-olah menjadi benteng yang berterusan menerima
serangan demi serangan dari falsafah. Tidak ada seorangpun dari kalangan
tokoh-tokoh ahli kalam yang berani menyerang falsafah dan menggempurnya
habis-habisan sehingga ke lubuknya sendiri kerana penguasaan mereka terhadap
ilmu falsafah dari segi asas-asas dan cabang-cabangnya amat lemah dan goyah. Mereka
juga tidak mempunyai senjata yang cukup mantap dalam usaha untuk berhadapan
dengan serangan falsafah apalagi dalam usaha untuk menyerang dan mengkritik
pandangan dan pendirian falsafah.
Tekanan demi tekanan yang mereka alami menyebabkan mereka mengambil
tindakan mempertahankan suatu serangan yang dilemparkan kepada Islam dan pihak
yang mengambil pendirian mempertahankan sesuatu akan sentiasa nampak berada di
pihak yang lemah. Berlandaskan objektif yang baik iaitu menunjukkan sikap
toleransi dan memaafkan kepada yang menuduh mereka turus bertahan.
Kehadiran al-Ghazali sebaliknya membawa situasi yang sangat
berbeza. Al-Ghazali mengambil langkah menyerang falsafah, mengkaji dan
mengkritiknya. Serangan beliau yang bersifat ilmiah dan berhujah seperti mana
falsafah. Beliau juga menunjukkan keintelektual sebagaimana ahli-ahli falsafah
yang besar dan penyerang-penyerangnya yang terkenal sehingga memaksa ahli
falsafah mengubah kedudukan mereka di pihak yang tertuduh dan tokoh-tokoh
mereka mengambil sikap mempertahankan pendirian mereka sendiri.
Tindak balas positif yang dibawa oleh al-Ghazali telah mewujudkan
satu anjakan yang amat besar tehadap pendirian agama dan falsafah, malah ia
telah menzahirkan kemenangan kepada akidah Islamiah. Kepulangan semula kepada akidah Islam telah
berlaku kepada pengikut Islam dan kepada orang-orang yang beriman dan
menghilangkan kehebatan falsafah dan pengaruh ilmiahnya dalam kalangan
masyarakat.
6.
FATAMORGANA LENYAP DARI FALSAFAH
Al-Ghazali sedar
apabila beliau telah megishtiharkan perang terhadap falsafah, beliau telah
menyediakan persediaan yang lengkap untuk bertempur. Bukan sahaja dari sudut
material, rohani dan juga kejiwaan, bahkan beliau telah mengatur strategi yang
mantap untuk berdepan dengan mereka tanpa kompromi. Serangan psikologi digunakan
dalam usaha melemahkan dan menjatuhkan semangat musuh dan mengangkat semangat
juang pejuang-pejuang kebenaran.
Falsafah berselindung di sebalik masyarakat pertengahan. Perbahasan
yang samar-samar, tidak jelas, rumit dan kabur menyukarkan falsafah difahami.
Malah penggunaan bahasa simbol dan uslub-uslub yang tidak jelas turut
digunakan. Pengarang sengaja berbuat demikian untuk mengekspoitasi golongan
tertentu dan menjadikan falsafah khusus untuk golongan tertentu sahaja. Dengan
cara ini nilai falsafah melambung tinggi dan menjadikannya dalam fatamorgana
yang mendapat penghargaan, penghormatan dan menyebabkan kebanyakan menusia
tidak pernah berfikir untuk mengenali dan memahaminya.
Menghuraikan falsafah dalam bentuk mudah dan boleh difahami adalah
langkah pertama dan bijak yang dilakukan oleh al-Ghazali. Kebijaksanaan yang
dianugerahkan kepada al-Ghazali memudahkan huraiannya hampir kepada pemahaman
masyarakat. Rentetan itu lahirlah kitab yang berjudul Maqasid al-Falasifah. Karangan
ini membahaskan istilah-istilah falsafah dengan sebaik-baik penjelasan
hinggakan tokoh-tokoh falsafah itu sendiri tidak dapat mengkritik dan
menjangkau kaedah penjelasan al-Ghazali.
Seluruh masyarakat termasuklah para ahli falsafah sendiri mengiktiraf
kepakaran al-Ghazali dalam falsafah sebaimana yang berlaku dalam ilmu-ilmu
lain. Ruang dan peluang telah terbuka kepada beliau untuk beliau mengemukan
pendapatnya yang tegas pada kemudian hari. Sehinggakan para ahli falsafah
menganggap mereka telah berjaya menambah saf pakar dalam bidang falsafah.
Enam asas telah dikeluarkan oleh al-Ghazali dalam perihal penting
falsafah yang kebanyakan tidak bertentangan dengan agama. Al-Munqiz Min
al-Dalal kitab karangan al-Ghazali menyuarakan falsafah akan menang dan
berdiri atas kedua belah kakinya di atas dua kesilapan :
a)
Kesilapan
yang hadir dari pembentangan yang dilakukan oleh orang-orang yang menjelaskan
pendapat mereka tentang falsafah.
b)
Kejahilan
orang-orang yang membela Islam dengan menentang falsafah secara total tanpa
pengkajian atau pemahaman terhdap falsafah itu sendiri.
Kemudian al-Ghazali menjelaskan orang yang memerhatikan ilmu fizik
yang pada ketika itu merupakan ilmu falsafah berasa takjub dengan ketepatan
hujahnya. Oleh sebab itu, anggapan positif lahir dan mereka beranggapan semua
ilmu falsafah mempunyai hujah yang hak. Kekufuran yang lahir dan sifat acuh
tidak acuh terhadap syariat telah mengkafirkan para ahli falsafah tersebut.
Andaikata agama itu benar, sepatutnya sudah boleh ditangkap oleh ahli falsafah
yang mendalami ilmu fizik. Inilah kesilapan yang dilakukan oleh para ahli
falsafah.
Pejuang Islam pula berpendapat agama perlu menang dengan menolak
setiap ilmu yang disandarkan kepadanya. Semua ilmu diingkari sehingga menolak
perbahasan perihal gerhana matahari dan bulan yang dinggap bertentangan dengan
syarak. Kejahilan ini menambah kecintaan
masyarakat pada falsafah dan mewujudkan pemikiran bahawa Islam itu tertegak di
atas kejahilan.
7.
PENDIRIAN ULAMA
Pembawaan risiko hasil dari serangan pemikiran adalah lebih dahsyat
dan buruk berbanding serangan persenjataan. Hujjatul al-Islam gelaran yang
telah diterima oleh al-Ghazali setelah berjaya menumbangkan gagasan ahli
falsafah. Ulama yang mulai sedar dapat merenung semula tindakan al-Ghazali yang
memberi impak mendalam dalam diri umat Islam yang akhirnya memberikan
penghargaan kepada al-Ghazali.
Kritikan penglibatan dalam bidang falsafah juga turut diterima
al-Ghazali. Mereka ini seolah-olah buta dari melihat faktor-faktor al-Ghazali
mengkaji falsafah. Sudut pandang yang penuh kebencian terhadap falsafah telah
membawa kebencian terhadap al-Ghazali. Golongan yang mengkritik al-Ghazali
tidak ubah seperti pejuang Islam yang jahil sebagaimana yang menyangka Islam
akan menang dengan menolak segala yang disandarkan kepada falsafah.
8.
KESIMPULAN
Al-Ghazali mengguna method pengkajian yang mendalam
sebelum menghukum suatu perkara. Pembawaan ilmu hasil kajian itu kemudiannya
diadaptasi kedalam masyarakat yang memudahkan penerimaan apabila pendekatan yang
bersifat ringkas digunakan. Penolakan terhadap falsafah dilakukan dengan ilmiah
dan bukannya melarikan diri dari masalah. Hasilnya al-Ghazali menyelesaikan
masalah umat dan mengangkat semula akidah Islam.
RUJUKAN
Abdul Qayyum, 1985, Surat-Surat Al-Ghazali, Mizan Bandung,
Indonesia.
Ahmad Sunawari Long, 2008, Sejarah Falsafah Edisi Kedua, Universiti
Kebangsaan Malaysia, Bangi.
A.Hanafiaakk, 1976, Pengantar Falsafah islam.
Eric Ormsby, 2008, Ghazali The Revival Of Islam, Oneworld
Punlication, Trivandrum, India.
Marget Smith ,M.A,D.Lit, 1983, Al-Ghazali The Mystic, Hijra
International Publisher, Lahore.
Mohd Fauzi Hamat, 2005, Ketokohan Al-Ghazali Dalam Bidang Logik,
Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
M. Umaruddin, 2001, Some Fundamental Aspect Of Imam Ghazzali’s
Thought, Adam Publishers And Distributors, Chitli Qabar, Delhi.
Rohaya & Tholib Anis, 1988, 40 prinsip Agama Imam Ghazali,
pustaka hidayah.
Salih Ahmad al-Syami, 2001, Perjuangan Al-Ghazali Menegakkan
Kebenaran dan Menghapuskan Kebatilan Satu Panduan Untuk Ulama di Alaf Baru,
Pernigaan Jahabersa, Johor Bahru.
Saleh Ahmad Asy-Syami, 2007, Biografi Imam Al-Ghazali Hujjatul
Islam Dan Pembaru Kurun Ke-5 (450-505 Hijrah), Jasmine Enterprise, Kuala
Lumpur.
Ahmad Hatum, Muhd Taufiq Abu Ali, 2001, الإمام أبو حامد الغزالي متصوفا ومتكلما وفقيها, Darul Taghrib, Beirut,
Lubnan.
No comments:
Post a Comment